cool to share

Wednesday, October 29, 2008

'Singa'

Baik-baik menanam kentang
Salah ditanam berulat buahnya
Bukan melukut ditepian gantang
Hati singa sukar diduga.....


Sunday, October 26, 2008

Kenduri menjadi Duri

Menghadiri majlis perkahwinan rakan kenalan dari kalangan para alim dan ahli agama bukanlah sesuatu yang asing bagi saya dan keluarga. Baru-baru ini, satu majlis yang sangat meriah di hadiri para tetamu dan orang-orang kenamaan. Yelah siapa yang tidak berbangga jika majlis perkahwinan di hadiri para VIP. Namun yang menjadi tanda tanya saya ialah khemah lelaki dan perempuan di asingkan. Sudahlah agak berjauhan. Sukar betul bagi saya yang mempunyai dua orang anak yang agak kecil, terpaksalah suami menjaga seorang dan saya pula memegang tangan si adik terus berjalan ke khemah perempuan. Dalam hati menggumpal kata-kata tidak puas hati. Si adik memang tidak boleh duduk diam, asyik bertanya mana si ayah. Menyuap nasi ke mulut pun rasa tidak senang. Si adik pula, berselera makan nasi sehingga habis. Saya bangun ingin menambah nasi, menyuruh adik tunggu sekejap di bangku, bukannya jauh pun. Baru hendak menyenduk nasi, menyirap darah saya bila adik tiada di bangku tadi. Hmm nasiblah tidak jauh adik memang tidak boleh duduk diam , dia beralan-jalan mencari ayah rupanya. hendak diseret sekali , tidak tahu apa yang akan bakal disentuhnya dan memburukkan lagi keadaan.

Hmm kenapalah di asingkan sedang para hadirin adalah terdiri kaum keluarga, dan kenalan yag datang sudah pasti menyeret semua anak. Yang paling ku tersentuh bila seorang kakak semeja dengan saya yang sedang sarat mengandung memegang dua anak masih kecil. Anak-anak kecil memang banyak kerenah. Nampak wajah kakak tu penat , mukanya masam. Dek kerana lapar telan jugaklah nasi minyak . Bila ramai tetamu yang hadir, khemah perempuan yang kecil tidak dapat menampung tetamu yang baru sampai, jadi terpaksalah berdiri menunggu orang lain selesai makan. Inginke khemah lelaki yang lebih besar kerana bangku banyak kosong , pasti akan dihalau!!

Sebelah khemah saya ialah khemah para VIP, aik!! boleh pulak bila tetamunya duduk sekhemah lelaki dan perempuan. Pengantin di arak dengan kompang. Boleh pula pengantin makan beradap pun duduk sebelah menyebelah, yelah sudah sah dinikahkan. Kenapa tidak di asingkan , pengantin lelaki di khemah lelaki, dan pengantin perempuan di khemah perempuan. Barulah adil namanya.

Jadi kenapa tidak tetamu duduk disebelah suami atau isteri masing-masing. Kalau ada tetamu yang membawa bayi kecil dan anak umur setahun lebih, sudah tentu anak-anak ingin memerap ibunya. Bapa pula senang hati dan enak melantak nasi minyak. Sedangkan si ibu terkial-kial menyenduk nasi, lauk , ambil minuman, dan bayangkan bagaimana nak dukung bayi , menyeret anak kecil sambil memegang pinggan dan gelas. Makan berhidang boleh lah, ini secara bufet. Percayalah,.. walaupun duduk semeja dengan tetamu lain, tiada yang peduli pun sebab bukannya kenal. Sekadar senyum-senyum bolehlah.

Balik melangkah pulang dengan hati yang sedikit bengang, saya terfikir juga kenapa para tetamu beria-ia di asingkan, bukannya menghadiri ceramah agama, atau bengkel pengurusan yang berlarutan 4-5 jam. Paling tinggi pun kalau kita pergi kenduri kahwin ialah 1 jam, kalau tidak 20 minit sudah selesai makan pun. Buat apa tunggu lama, khemah di bawah panas matahari terik, berpeluh ketiak dan seluar dalam. Tiada siapa yang ingin tunggu lama, lainlah kalau buat di hotel 5 bintang.

Dan yang paling pastinya, dalam keadaan yang tidak selesa, panas , berkuap, berbahang , nasi & lauk & air terpaksa ambil sendiri, dengan tanah dan rumput basah kerana air basuh tangan yang disediakan telah penuh dan melimpah , saya betul-betul PASTI tiada siapa yang akan teruja atau bernafsu hatta melihat lelaki dan perempuan yang bukan muhrim jika sekhemahpun....

Wednesday, October 15, 2008

The Devil Wears D.Gabbana




"Milah! Milah!". Suara interkom menjerit membuatkan Milia hampir melompat dari bangkunya.
Kalau ye pun jangan lah menjerit macam tarzan. Milia menggerutu dalam hati. Milia sangat paham perangai bosnya kalau nama Milah yang dijerit , bermakna bosnya itu tengah bad-mood. Sengaja nama Milia ditukar menjadi Milah.

Bengkak betul Milia dengan perangai bosnya yang kadang-kala boleh naik hantu pada bila-bila masa. Dengan perasaan yang berbuku, Milia terus berlari anak menuju ke bilik bosnya itu.

"Ya Puan Maisara". Jawab Milia sebaik daun pintu kaca ditolak.
Dengan wajah yang penuh tegang tanpa senyuman, Maisara memandang Milia atas bawah. Milia serba salah kalau-kalau baju atau seluar yang dipakainya tidak kena atau koyak.

Bila mata Maisara terlekat pada kaki Milia yang tidak berkasut itu, barulah Milia perasan rupanya dia terlupa memakai kasut bila namanya dijerit tadi.

"Esok pagi ada presentation tolong siapkan power point slide before 4pm". Maisara mengeluarkan arahan tanpa mengangkat muka dari skrin laptopnya.

"And dont forget to wear your shoes".
"Yes I will".

Milia lantas mengambil fail dari tangan Maisara dan terus keluar dari bilik itu. Kalau sudah menjerit macam ada kecemasan, bukan setakat kasut, seluar dalam pun tidak sempat pakai. Getus hati Milia.


"Milia". Sebaik ingin menarik pintu kaca, Maisara berpaling bila namanya dipanggil.
"Cantik tak beg D&G I ni?" Maisara menayang-nayang sebuah beg baru buatan Itali itu dihadapan matanya. Dalam hati Milia, kalau 3 bulan gaji pun belum tentu dia dapat membeli beg seperti itu.
"Cantik". Spontan dan jujur ayat penyata Milia. Yelah beg mahal mesti berkualiti.
"Tapi warna orangey ni macam orang tua..la, terang sangat ".
Mulut Maisara tercebir-cebir kurang puas hati pula. Milia , yang masih lagi kehairanan dengan sikap bosnya yang tadi macam singa garang, kini macam muka beruk yang sedang merajuk.
"Takla Puan Maisara, sekarangkan In-trend, warna-warna garang seperti itu. Infact, M.A.C eyeshadow keluaran baru pun keluar warna-warna terang keemasan".
Terang Milia secara panjang lebar. Keterangan Milia itu cukup membuatkan dahi Maisara berkerut-kerut.

"You tahu tak betapa susahnya I nak dapat beg ini, finally I jumpa di ebay. Keluaran ini ekslusif , setiap negara hanya ada satu unit sahaja. So, you janganlah berangan nak beli ya. Di Malaysia ini, mungkin I seorang sahaja yang ada".
Maisara ketawa mengejek Milia, bila Milia tersenyum kelihatan masih lagi terkagum-kagum dengan beg yang cantik rekaannya itu. Maisara masih lagi mengayakan beg itu di hadapan MIlia. Kejap dijinjingnya, kejap dikepitnya.

Kata-kata Maisara, tidak sedikitpun membekas di hati MIlia. Tidak ada guna menyentap dengan orang yang bossy and perasan itu.
Beg itu memang sangat cantik pada pandangan Milia. Trendy and moden. Padanlah dengan Maisara yang memang cantik dan kurus orangnya. Kulitnya putih, rambut lepas lurus. Pandai pula bergaya walaupun kadangkala kurang sesuai sebagai wanita Melayu beragama Islam.

Milia yang berjawatan PA merangkap secretary Maisarah , bukan kolot orangnya. Walaupun berpakaian agak simple, tapi dia memang rajin mengupdate diri mengenai informasi kecantikan terkini. Milia memasang angan-angan untuk membeli sesuatu yang diingininya bila duit yang dikumpul telah cukup kelak.

Sekembali ditempat duduknya, Milia berfikir alangkah bertuahnya jika dia mempunyai kewangan yang kukuh dan boleh membeli apa sahaja kemahuannya. Ya, seperti Maisara bosnya itu yang merangkap Pengurus syarikat TT Corp.

Maisara memang seorang wanita yang bossy, Milia masih teringat hari pertama Maisara mula bekerja di pejabat itu sewaktu menggantikan En Taufiq yang berhenti kerana melanjutkan ke luar negeri, Maisara melangkah masuk dengan penuh bergaya. Kasut tumit 3 inci, baju blouse berwarna putih , bertali pinggang hitam dan berkain sifon hitam berbelah di belakang dan tidak ketinggalan spek hitam bulat besar berjenama Mont Blanc.

"Hai! saya Maisara Abdul Jalil, pengganti En Taufik , please call me Miss or Puan Maisara. Saya berumur 38 tahun, oversea graduate. Mula hari ini, saya mahu semua staff follow stail new management okay".

Milia tenung muka Kak Siti, Kak Rosnah Wati,Thennadewi dan staf lain, agak tercengang-cengang dan terkulat-kulat selepas salam perkenalan diucapkan oleh bos baru. Mana tidaknya, TT Corp yang terletak di daerah 'urban area' itu , menerima bos yang sangat moden dan agak kebaratan. Kebanyakan staf di disini adalah penduduk asal daerah yang semuanya bertudung dan berbaju kurung sahaja ketika ke pejabat kecuali yang bukan Islam. Namun Milia, lulusan Degree in Finance dari ibukota , agak terbuka fikirannya dan bersikap lebih rasional. Milia tidak pernah ambil pusing tentang itu.

Bermula tarikh itu , banyaklah perkara 'suka' dan 'duka' mula berlaku di pejabat itu. Secara tidak langsung, staf mula mengenal Maisara secara dekat. Maisara seorang yang beauty concious dan amat takut untuk menjadi gemuk dan mengeleber, mempunyai jadual di gimnasium untuk body-toning dan sebulan sekali dia akan shopping di ibukota kerana didaerah terpencil ini, barang-barang agak rendah kelasnya. Tidak makan kulit ayam, tidak makan makanan segera dan tidak minum kopi dan juga teh tarik. Semua itu adalah makanan mengarut dan dirasakan boleh membunuh dirinya.

Memo yang paling tidak akan MIlia lupakan ialah apabila memo cara berpakaian sewaktu bulan Ramadhan di tampal di papan notis. Meminta agar semua staf berpakaian secara sopan. Ada staf yang tergelak kecil dan ada juga yang tergelak besar dengan memo berbunyi kebudak-budakan itu.

Tapi yang Milia rasa agak keterlaluan ialah Maisara selalu memandang rendah pada Zabedah, yang sangat low profile orangnya. Berbadan agak besar, jarang bergaya mahupun makeup. Bersandal atau berselipar sahaja dipejabat. Walaupun Zabedah juga grad oversea, tapi Zabedah tidak suka menunjuk-nunjuk atau over . Segala kerja akan dilaksanakan dengan baik.

Suatu hari seperti biasa, Maisara akan tiba dengan Toyota Estimanya . Selepas memarkir kereta, Maisara terus berjalan menunjuk kebilik. Bunyi keletak-keletuk kasut tinggi, telah menjadi satu kelaziman di halwa telinga staff di situ.

Sebaik sahaja Maisara meletakkan beg Dolce Gabbananya di atas meja, Zabedah mengetuk pintu bilik kaca. Setelah dipelawa masuk , Zabedah terus meletakkan sampul surat putih di hadapan Maisara. Dengan mulut yang sedikit mengherot Maisara membaca surat itu dan merenung tepat ke mata Zabedah. Mata Maisara merayap ke baju sutera dan sifon yang melekat di badan Zubaidah, kasut bertumit berjenama dan beg Braun Buffel versi terkini. Maisara sedikit tercengang dengan perubahan Zabedah itu tetapi lekas-lekas dicovernya.

" Betul awak ingin berhenti?"
"Ya Puan Maisara".
"Awak perlu beri notis dua bulan. Jika tidak perlu bayar dua bulan gaji. Sudah banyak kes seperti ini berlaku, awak mahu ke mahkamah ke"?
"Its okay. I already prepared a cheque amount RM4500.00. I rasa cukup untuk cover dua bulan salary I. But I need to leave today ".

Zabedah terus meninggalkan pejabat bersalaman dengan semua staf yang ada. Suaminya Dato Shahman sedang menunggunya di luar pejabat dengan Harrier.

Milia memerhati wajah Maisara yang sedikit terkedu itu. Zabedah rupanya isteri Dato'. Maisara merasa terpukul dengan sikap acuh tak acuh dan suka memandang rendah pada staf selama ini. Tidak disangka Zabedah menerima tawaran pekerjaan dengan jawatan tinggi di ibukota dan menerima gaji hampir RM5000 sebulan.

Dan yang paling Milia tidak akan lupa ialah selepas Zabedah pergi, tukang sapu syarikat yang baru diambil bekerja datang melaporkan diri pada hari yang sama. Milia akan ingat seumur hidupnya , bila Makcik Nor menghulurkan salam kepada Maisara, dan Maisara terperanjat separuh mati , matanya seakan hampir menangis, mulut terngaga seperti terkecik biji rambutan dek kerana beg yang disandang oleh Makcik Nor adalah sama dengan begnya. Dolce Gabbana.

"Oh! beg murah ini, anak saya di KL yang beli Puan, katanya di Petaling Street". Makcik Nor tersengih kehairanan setelah bosnya bertanya akan beg yang dikepitnya itu.

Dan kini saya, Milia sudah berherti dari syarikat TT Corp , kerana mendapat jawatan Pengurus Jabatan Kewangan Korporat di salah sebuah syarikat dan selalu bertemu Puan Maisarah kerana syarikatnya merupakan customer terbesar TT Corp. TT Corp harus mematuhi segala piawai yang telah pihak syarikat Milia tetapkan atau semua projek akan ditarik balik...hmm alahai... itulah berlagak devil lagi.


Saturday, October 4, 2008

Syawal

Dalam kekalutan kerja dan kesuntukan masa mengemas rumah, saya berjaya juga menyediakan kuih makmur kegemaran suami. Nampaknya tahun ini itu sahajalah satu-satu kuih buatan sendiri. Dengan anak-anak yang makin menakal dan aktif, memang agak sukar bertumpu pada sesuatu kerja untuk masa yang agak lama. Kesempatan waktu bila kedua-dua anak berkeras ke rumah opah adalah 'heaven' bagi saya. Suami pula kepejabat kerana banyak urusan perlu diselesaikan sebelum bercuti raya.
Emak saya selalu berpesan, sebagai isteri dan ibu semua kerja rumah kena buat sambil-menyambil, kalau tidak apa kerja pun tak dapat disiapkan. Memang saya akui banyak kata dan nasihat emak yang saya aplikasikan dalam kehidupan harian. Dalam kalut mengemop rumah sempat lagi saya membaca dan membalas emel. Kalau tiada dua hero di rumah , banyak urusan dapat diselesaikan. Saya jadi gawat dan tension tika saya mengemop mereka berlawan aksi ultraman dan raksasa. Bila dah geram sangat saya buat aksi Mak Som ( Putera Shazlan ) jerit "Cepatttt" sekuat hati saya. Sekejap sahaja mereka takut, lepas tu sambung semula. Adui! anak-anak..
Setelah memasukkan kain dalam mesin basuh buat kali ke 3, pantas saya mencapai tepung dan mengayak sebelum diuli dengan minyak sapi. Lenguh tangan menguli, saya membentang suratkhabar di depan tv , dapatlah saya menonton rancangan kegemaran menjelang hari raya sehinggalah kuih makmur siap digentel dan disusun di dalam balang. Puas hati melihat kuih makmur yang sudah siap. Mudah sahaja bahan-bahannya tepung, minyak sapi , gula dan kacang (inti). Yang penatnya ialah untuk membentuknya jadi bulat selepas diisi inti. Usai menyiapkan kuih makmur, saya membancuh kek coklat pula. Kesukaan anak-anak.
"Yong kamu buat kuih makmur tak tahun ini "? Suara emak kedengaran dihujung talian.
"Kalau buat nanti, buat lebih bawak sini , emak tak sempat buat kuih tahun ini".
"Dah siap satu balang untuk emak".
Tahun ini juga kami murah rezeki
menerima beberapa cenderahati dari rakan-rakan dan pihak syarikat. Alhamdulillah. Saya sedekahkan kepada jiran-jiran yang berbangsa India dan Cina. Maklumlah bukannya semua orang makan rendang atau lemang. Tahun ini rendang daging saya menjadi. Itupun selepas 2-3 kali telefon emak di Puchong untuk pastikan awas-awasnya untuk memasak daging 3 kilo dan ayam 2 ekor. (Saya selalu 'failed' masak rendang). Separuhnya saya bagi pada emak mertua di Batu Gajah. Jadi tak perlulah dia bersusah-payah memasak rendang. Lemang pula saya beli sahaja di Jalan Pasir Puteh .
Cantik anak-anak mama berbaju sedondon. Songkok Jaya Jusco hanya untuk bergaya. Haikal tahun ni mengikut ayah sembahyang raya . Bagus anak mama.
Selamat Hari Raya . Maaf Zahir Batin.