cool to share

Saturday, October 4, 2008

Syawal

Dalam kekalutan kerja dan kesuntukan masa mengemas rumah, saya berjaya juga menyediakan kuih makmur kegemaran suami. Nampaknya tahun ini itu sahajalah satu-satu kuih buatan sendiri. Dengan anak-anak yang makin menakal dan aktif, memang agak sukar bertumpu pada sesuatu kerja untuk masa yang agak lama. Kesempatan waktu bila kedua-dua anak berkeras ke rumah opah adalah 'heaven' bagi saya. Suami pula kepejabat kerana banyak urusan perlu diselesaikan sebelum bercuti raya.
Emak saya selalu berpesan, sebagai isteri dan ibu semua kerja rumah kena buat sambil-menyambil, kalau tidak apa kerja pun tak dapat disiapkan. Memang saya akui banyak kata dan nasihat emak yang saya aplikasikan dalam kehidupan harian. Dalam kalut mengemop rumah sempat lagi saya membaca dan membalas emel. Kalau tiada dua hero di rumah , banyak urusan dapat diselesaikan. Saya jadi gawat dan tension tika saya mengemop mereka berlawan aksi ultraman dan raksasa. Bila dah geram sangat saya buat aksi Mak Som ( Putera Shazlan ) jerit "Cepatttt" sekuat hati saya. Sekejap sahaja mereka takut, lepas tu sambung semula. Adui! anak-anak..
Setelah memasukkan kain dalam mesin basuh buat kali ke 3, pantas saya mencapai tepung dan mengayak sebelum diuli dengan minyak sapi. Lenguh tangan menguli, saya membentang suratkhabar di depan tv , dapatlah saya menonton rancangan kegemaran menjelang hari raya sehinggalah kuih makmur siap digentel dan disusun di dalam balang. Puas hati melihat kuih makmur yang sudah siap. Mudah sahaja bahan-bahannya tepung, minyak sapi , gula dan kacang (inti). Yang penatnya ialah untuk membentuknya jadi bulat selepas diisi inti. Usai menyiapkan kuih makmur, saya membancuh kek coklat pula. Kesukaan anak-anak.
"Yong kamu buat kuih makmur tak tahun ini "? Suara emak kedengaran dihujung talian.
"Kalau buat nanti, buat lebih bawak sini , emak tak sempat buat kuih tahun ini".
"Dah siap satu balang untuk emak".
Tahun ini juga kami murah rezeki
menerima beberapa cenderahati dari rakan-rakan dan pihak syarikat. Alhamdulillah. Saya sedekahkan kepada jiran-jiran yang berbangsa India dan Cina. Maklumlah bukannya semua orang makan rendang atau lemang. Tahun ini rendang daging saya menjadi. Itupun selepas 2-3 kali telefon emak di Puchong untuk pastikan awas-awasnya untuk memasak daging 3 kilo dan ayam 2 ekor. (Saya selalu 'failed' masak rendang). Separuhnya saya bagi pada emak mertua di Batu Gajah. Jadi tak perlulah dia bersusah-payah memasak rendang. Lemang pula saya beli sahaja di Jalan Pasir Puteh .
Cantik anak-anak mama berbaju sedondon. Songkok Jaya Jusco hanya untuk bergaya. Haikal tahun ni mengikut ayah sembahyang raya . Bagus anak mama.
Selamat Hari Raya . Maaf Zahir Batin.

No comments: