cool to share

Friday, December 26, 2008

Hari ini dan Esok

Lagi 5 hari tirai 2008 akan menurunkan labuhnya dan tak mungkin dapat disingkapkan semula. 2009 pula akan tiba dan putaran roda hidup kita akan berulang semula. Sejenak saya merenung kembali kehidupan saya yang baru lepas dan yang lampau. Apakah saya puas hati dengan kehidupan saya sekarang?

Kehidupan berkeluarga bersama suami dan kerenah anak-anak adalah saat yang paling membahagiakan dan tidak ada galang -gantinya dalam dunia ini. Inilah prioriti dan saya akui memang akan terasa kekurangan jika momen itu tidak berulang walau sehari. Terutama jika sibuk bekerja dan perlu outstation. Ah! Rindu pasti bertalu-talu datang walaupun raut wajah saya sangat selamba. Tahun 2009, saya berdoa dan amat berharap agar rumah impian menjadi kenyataan. Mudah-mudahan Tuhan memakbulkan doaku agar dapat menduduki rumah baru di tahun 2009 nanti.
Alam kerjaya saya , hanya biasa-biasa sahaja. Mungkin Tuhan belum lagi mahu menunjukkan jalan bagaimana saya boleh excel dalam bidang kerjaya. Namun yang pasti saya akan terus berusaha. Jika kelak nanti saya perlu memulakan langkah di alam pekerjaan yang baru saya sentiasa bersedia. Of course, jika kerjaya dan keluarga perlu dibuat pilihan, saya sanggup melepaskan kerjaya dan memilih keluarga, walaupun kerjaya yang menanti itu adalah kerjaya yang saya idamkan selama ini dan angka 'kosong' yang diberikan adalah lebih banyak dari yang sekarang. Jika itu yang perlu saya lepaskan , saya redha. Jika tiada lagi not-not merah dan biru masuk ke akaun saya seperti biasa, saya juga sanggup dan perlu bersedia, namun tidak sesekali sanggup mengorbankan masa dan berjauhan dengan keluarga dan anak-anak.

Jika saya renungkan semula, keluarga dan kerjaya saya kini, alhamdulillah tiada cacat cela. Mungkin inilah yang saya doakan saban malam, dan Allah SWT telah memakbulkan doa saya walapun kadang-kala saya terlupa dan alpa untuk menyatakan kesyukuran. Kerjaya yang biasa-biasa tapi masih punya masa dengan anak-anak pada waktu malam, hujung minggu masih boleh menonton dan membaca dengan anak-anak. Bukankah itu yang lebih penting?

Apa yang saya harapkan di tahun 2009? Saya mengharapkan kebahagiaan saya ini berkekalan, memohon rezeki saya pada tahun ini akan lebih berlipat kali ganda dan memohon agar dibuka lagi jalan dan ruang untuk saya memperbaiki kehidupan saya dan diri saya. InsyaAllah

No comments: