cool to share

Wednesday, November 12, 2008

emayat.....

"Engkau ni kenapa Yat? Sudah hilang akal ke?"
"Tahu tak perbuatan engkau tu boleh merosakkan nama dan seterusnya boleh dibuang pengajian?".
Yat hanya mendiamkan diri dengan muka yang kusut. Rambutnya yang kerinting itu nampak benar hodohnya bila tidak disikat. Yat cuba ingin menemui Ema terserempak dengan saya di kantin kolej. Yat merayu agar saya memujuk Ema menemuinya disitu.
"Aku malaslah nak masuk urusan korang berdua. Bukannya budak kecil lagi , dah boleh jadik bapak dan mak orang dah. Orang lain pun bercinta gak, taklah teruk benar macam korang".
Saya terus-terusan memarahi Yat. Mana tidaknya, bila malam tadi Yat atau nama penuhnya Hidayat memasuki asrama perempuan semata-mata ingin bertemu Ema. Bertujuan untuk memujuk kekasih hatinya yang tengah marah dan merajuk berpunca dari sikap Yat juga.
Ema dan saya satu blok , jadi bila keadaan menjadi huru-hara tengah malam tadi , hampir satu blok tahu. Ema malu tak terkata, kenapa Yat sampai berkelakuan begitu. Gara-gara Yat, orang mula memandang serong pada Ema. Ema yang sememangnya tidak berkongsi bilik dengan sesiapa menambahkan lagi andaian buruk terhadap dirinya.

Pada malam itu , Wati jiran Ema yang ternampak Yat sedang terhendap-hendap di pantri untuk mencari peluang memasuki bilik Ema. Wati terus menyergah Yat dan mengarahkannya keluar sebelum orang lain dapat tahu atau Wati sendiri melaporkan pada pihak Pengetua. Wati juga walaupun geram , masih lagi bersimpati dan tidak mahu melaporkan kepada pihak atasan kerana kasihankan mereka yang hanya tinggal satu semester sahaja untuk tamat dari pengajian. Wati seorang pelajar yang teguh memegang prinsip Islam, sangat geram dengan kerenah pelajar yang bercinta yang tidak menggunakan akal tetapi emosi. Malah beberapa kali juga dia terlibat dalam mentarbiah dan memberi kaunseling rakan sebaya yang hanyut dengan masalah sosial.

Ema dan saya walau berlainan fakulti, tetapi kami berdua menjadi rapat sejak menyertai program anak angkat bersama-sama pada semester ke-5. Ema memang sempoi dan boleh sekepala dengan saya yang gila-gila. Perihal peribadi Ema juga dikongsi bersama, mungkin Ema inginkan pandangan dari saya. Masalah saya dengan sidia juga kadang-kadang dikongsi dengan Ema.

Ema dan Yat memang pasangan belangkas, kemana-mana berdua . Sempadan hanyalah longkang blok asrama perempuan dan longkang di blok asrama lelaki. Mereka satu fakulti dan tinggal di kolej kediaman yang sama, menambahkan lagi kejuaran pasangan terhangat di kolej kami. Di mana ada Ema mesti ada Yat, Begitu juga sebaliknya . Bila disebut EmaYat atau mendapat jolokan "imayat" semua penghuni kampus terutama Kolej Guthrie amat mengenali mereka. Yat sangat beruntung sebab Ema selalu menyudahkan assignmentnya , yelah sayang katakan.

"Ema , kenapa boleh jadi sampai macam ini?"
"Entahla Shila, masa petang tu, aku mintak putus dari Yat. Dia tak nak lepaskan aku , dia sayangkan aku. Tapi aku tak boleh lagi la Shila". Ema dah terhinggut-hinggut menangis.
Sayapengalaman bercinta yang tak sampai setahun jagung , tidak tahu bagaimana ingin memujuk Ema, hanya mampuamenedah telinga cuba menyelami perasaan orang yang sedang bersedih kerana cintanya kini seperti telur di hujung tanduk.

"Tapi apa puncanya? Bukankah korang berdua ni couple yang paling hot kat sini? Macam belangkas. Family kau dan Yat pun dah tahu bukan?"
Saya cuba membawa Ema berfikiran rasional bukan emosional.
"Memang Shila , aku terlalu sayangkan dia. Tapi aku tak bolehlah kalau orang paksa aku berubah tanpa keikhlasan hati aku".
"Maksud kau?"
"Yat inginkan aku berubah mengikut caranya".
"Berubah? Selama hari ini aku tengok engkau okay jek, pakaian okay pakai tudung, sembahyang pun tak tinggal, tak merokok tak minum arak...hmm aku konpius lah Ema."
"Yat nak aku pakai tudung labuh atau tudung bulat macam Wati dan grup Biro Kerohanian tu..."
Ema mengesat hidungnya yang merah berair. Matanya yang sembap sedikit menjadikan matanya sepet.
"Ohhh.. apasalahnya Ema. Kalau untuk kebaikan". Saya tersenyum sambil memujuk.
"Aku tak suka dipaksa. Yat caranya memaksa. Aku akan pakai jugak tapi bukan sekarang, kalau selepas berumahtangga dan kerana hati aku ikhlas okaylah. Yang paling aku bengang dia letak syarat sekarang jugak aku mesti berubah, dahla tu aku dengan Yat tidak boleh selalu keluar bersama, berjumpa pun tidak boleh selalu. Entahlah Shila, sejak dia baik dengan grup masjid ni, Yat sudah terlalu berubah. Dia tak bagi aku pakai tudung tiga segi ni lagi".

Barulah saya faham duduk perkara yang sebenar. Yat yang dahulu sangat romantis dan tidak segan-segan memeluk dan memegang tangan Ema di depan kami, kini mula insaf dan berubah. Ema tidak boleh terima perubahan itu lantas meminta putus. Sedangkan Yat masih menyayangi Ema. Dalam hal ini, Yat mungkin ada betulnya, mungkin caranya agak drastik. Saya tidak boleh komen lebih-lebih, sedangkan saya pun belum bertudung lagi . Maklumlah masih bergelar siswi hehehe. Aduss.. pening kepala saya memikirkan hal mereka. Tak mengapalah , janji saya sudah memainkan peranan sebagai seorang sahabat dan menjadi pendengar yang baik, walaupun aku juga sebenarnya agak keliru.

Kini selepas 10 tahun berlalu, saya bertemu Ema sewaktu mengambil peperiksaan KPLI di salah sebuah maktab. Seronok menyembang sambil mengimbaskan kisah-kisah lama sewaktu di universitu dulu. Mana taknya semua perangai seperti kebudak-budakkan. Yelah sekarang usia yang semakin menginjak 'tua' ... fikiran semakin matang dan emosi semakin stabil, cuma poket jek kadang-kadang kurang stabil ..
"Ema , kau nak tahu aku ada jumpa Yat minggu lepas ". Saya merenung wajah Ema yang sudah beranak dua itu. Ternyata tutur kata, bentuk badan, pakaian dan raut wajahnya masih sama. Cuma lebih matang dan cantik. Ema berkahwin dengan pegawai polis yang lebih muda darinya. Semenjak mempunyai anak yang pertama, Ema menjadi surirumah sepenuh masa.
"Oh ye ke. Lama gila tak dengar cerita budak tu , macam mana dia sekarang ?"
"Dia ada dua anak dah, isterinya orang Ipoh. Dia kini Penolong Pegawai Daerah di cawangan Kinta, kalau tak silap aku gred 44."
"Oh ye ke". Raut wajah Ema sedikit terkejut.
"Rezeki dia Ema, kita ni sejak dahulu lagi cuba mohon jawatan kerajaan tak pernah pun berhasil. Rasanya pointer Yat taklah setinggi kita yetak?"
Ema hanya mengangguk dan tersenyum pahit.






No comments: