Hujan diluar rumah turun ah-curah lebat. Malas memonton Astro yang tenggelam timbul tu. saya ke dapor membancoh kopi. Saya yang hanya berseluar katok dan bersinglet rasa sejuk pula mencering-cering hingga ke tulang. Bau pekat aroma white coffee jenama Antong cap tempatan yang saya beli di pekan Taiping tadi sedang berbuai-buai dihujung lubang hidung . Hmmm.. sedap aromanya.. tapi rasanya saya belum tahu. Tunggulah kejap...
Di kala begini saya teringat kenangan lampau di zaman sekolah rendah sewaktu di dalam darjah dua di SK Malim Nawar. Sekolah ini memang terletak di kawasan kampung, tapi tidak tahulah pulak sekiranya telah berubah menjadi lebih moden. Saya memang memasang keinginan untuk menjenguk ke sekolah itu semula yang pernah berbudi dengan saya sewaktu mula kenal membaca dan mengira. Walaupun saya setahun di tadika, sukatan pelajarannya langsung tidak sama dengan sekarang. Saya hanya pandai melukis dan mewarna dan mengenal ABC. Di sekolah ini, memang banyak yang saya pelajari selain membaca, mengira, melukis, mewarna dan menyanyi saya jugamula kenal apa itu kopi sedap..! Hmm Pelik bukan ? Saya mengenali sejenis kopi yang saya rasa sangat sedap. lain dari yang lain. Bukan seperti biasa yang dihidangkan oleh arwah Opah ketika pagi-pagi ingin bersiap ke sekolah. Kopi kampung memang sudah lama serasi dengan tekak saya ini.
Bagaimana saya kenal kopi sedap? Ketika di darjah Dua, saya bersekolah sesi petang. Faham-fahamlah jika petang memang mengantuk. Tambah pula di luar hari hujan. Saya masih ingat dulu kelas saya ada jaring pagar di pakukan di sekeliling kelas dari syiling bawah bumbung sehingga ke atas tingkap. Bermakna jika hujan agak lebat , terasa juga tempiasnya. Namun yang saya pasti kelas saya memang selesa. Tidak panas.
Berbalik kepada kopi sedap tadi. Saya teringat seorang Cikgu bernama Cikgu Yahya. Kalau tidak silap saya beliau mengajar Bahasa Malaysia. Perwatakan memang nampak garang, sesuai dengan saiz badannya yang agak besar. Rambutnya kerinting dan tangan agak berbulu tapi tidaklah terlalu lebat. Beliau suka bercerita dan sudah tentu banyak cerita lucu sesuailah untuk budak Darjah Dua Kuning iaitu kelas saya. Dan yang paling saya ingat, Cikgu Yahya akan membawa flusk air ke mana sahaja beliau pergi. Pada suatu hari ketika di kelas Cikgu Yahya, waktu di luar kelas memang agak sejuk selepas hujan. Selepas Cikgu Yahya habis menulis di papan hitam , dan mengarahkan kami meniru tulisannya, Cikgu Yahya membuka flusk air dan menuang ke dalam penutup flusk itu. Ketika itu saya mula memandang Cikgu Yahya yang sedang meneguk air berwarna perang itu. Asap tipis kelihatan keluar dari flusk airnya. Saya terus memandang kerana sifat ingin tahu. Mungkin juga ingin rasa. maklumlah saya duduk di barisan paling hadapan. Aromanya menganggu kosentrasi saya. Hehehe
Cikgu Yahya perasan agaknya saya memandangnya sambil tersenyum-senyum. Lalu Cikgu Yahya menawarkan airnya kepada saya dan rakan-rakan. Penutup air flusk yang telah diisi penuh itu bertukar tangan dan dapatlah saya dan lima enam lagi rakan saya yang turut serta menghabiskan air itu.
"Air apa ni Cikgu? Sedaplah".
"Oh! Ini air Nescafe-O. Cikgu suka minum panas-panas."
"Esok bawak lagi Cikgu".
"Okay No problem".
"Kalau tak nak rakan lain minum air kamu, kamu ludah je dalam cawan tu jadi tiada siapa yang akan berkongsi air dengan kamu".
Cikgu Yahya memberi idea dan ketawa. Saya dan rakan kelas pun turut ketawa. Hmm... memang ada logiknya jika saya berbuat begitu. Saya berfikir dengan tamak sambil tersengih-sengih. Nescafe rupanya kopi sedap pertama saya....
No comments:
Post a Comment